seismik

"Semoga Allah Berikan Ketabahan Kepada Saudara" - Surat Terbuka Mufti Buat Iqram Dinzly

Kami doakan semoga urusan Iqram dipermudahkan.

Cover image via SAYS

Seperti yang kita semua tahu, sejak kebelakangan ini kelakuan artis terkenal, Iqram Dinzly di laman sosial mengundang pelbagai reaksi dari netizen

Namanya yang agak sudah lama tak didengari di industri hiburan itu tiba-tiba menjadi bualan hangat netizen apabila dia memuat naik gambar, video dan membuat live video yang pelik selepas bapanya, Muhammad Saipuddin Datuk Seri Ahmad Said meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Sewaktu membuat live video, Iqram kelihatan kadang-kadang menari, berzikir dan ada masanya menangis. 

Ramai yang mendakwa dia sudah tidak waras, tetapi Iqram masih menegaskan bahawa dia masih waras dan masih dirinya yang dulu.

Pelbagai cacian dan dakwaan tak berasas telah dilemparkan orang ramai terhadap Iqram. Kami sendiri bila baca komen-komen negatif ini pun terkejut dengan kelantangan pendapat netizen yang pada kami sangat tak beradab.

Isu Iqram Dinzly telah menarik perhatian ramai pihak seperti rakan-rakan artis yang lain dan juga Mufti Wilayah Persekutuan.

Terkesan dengan isu itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah menghantar surat terbuka kepada artis tersebut.

Image via YouTube

Baca surat terbuka tersebut di bawah:

SURAT TERBUKA KEPADA SAUDARA IQRAM DINZLY

السَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam perkenalan kepada saudara yang kami kasihi, Iqram Dinzly.

Baru-baru ini kami terbaca laporan akhbar, juga kisah-kisah di media sosial berkenaan kehidupan saudara kini. Pertamanya, kami ingin ucapkan takziah atas pemergian papa tercinta, almarhum Muhammad Saipuddin Ahmad Said. Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi

Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara. Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

Dalam pada itu, kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Qur’an, begitu juga zikir-zikir. Kami ada menonton beberapa LV saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanyasanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang.
Akhir kalam, kami menjemput saudara Iqram untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain, juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh hubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri 

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin.

Akhukum fillah, 

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Rabu, 27 Disember 2017 bersamaan 8 Rabi’ul Akhir 1439H
3.08 petang.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Sebelum ini:

You may be interested in: