Tak Sengaja Buat Tempahan E- Hailing, Pelajar Ini Dipaksa Berbogel Oleh Pemandu
Pemandu berkenaan kini sedang berada dalam siasatan polis.
Hanya kerana tersalah membuat tempahan perkhidmatan e-hailing, seorang pelajar kolej trauma apabila bukan sahaja dimaki malah dipaksa berbogel sebelum suspek merakam video dan mengugut mangsa membayar sejumlah wang
Itulah yang terjadi kepada remaja lelaki yang berusia 18 tahun apabila dia memuat turun satu aplikasi e-hailing ketika berada di rumahnya, lalu secara tidak sengaja membuat tempahan itu.
Kejadian yang berlaku pada pukul 1 pagi itu membuatkan pelajar berkenaan merasa trauma apabila dipaksa berbogel dan mengugutnya untuk membayar sejumlah wang.
Menerusi laporan, pelajar tersebut telah membatalkan tempahan, namun dia dihubungi pemandu e-hailing itu yang memarahinya kerana didakwa membuat tempahan palsu.
Terima mesej melalui WhatsApp, dipaksa untuk berjumpa
Disebabkan kejadian itu, pemandu tersebut kemudian menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada pelajar tersebut dengan memarahinya dan ingin bertemu remaja terbabit kerana merasa dirinya ditipu.
Remaja berkenaan kemudian bersetuju untuk bertemu pemandu tersebut di kediamannya dan membayar tambang RM25.50 sebagai ganti rugi.
Dikatakan mereka bertemu di kediaman remaja terbabit pada pukul 1.10 pagi sebelum dia meminta maaf dan menyerahkan wang ganti rugi itu.
Dipaksa untuk menanggalkan pakaian dan meminta bayaran RM200
Bagaimanapun, pemandu itu mengugut remaja berkenaan dengan menggunakan nama polis dan menyuruh dia menanggalkan pakaian, namun dibantah olehnya.
Namun, pemandu tersebut terus memaksa dia untuk menanggalkan pakaiannya dan mengugut akan membuat laporan polis konon mangsa membuat tempahan palsu jika tidak mengikut arahannya.
Tidak hanya itu, selepas mengugut akan membuat laporan polis, pemandu berkenaan juga telah meminta bayaran RM200.
Oleh kerana bimbang, remaja berkenaan terus mengikut arahannya dan memindahkan wang itu ke dalam akaun bank diberikan pemandu itu.
Pemandu ugut lagi mahu sebarkan video bogelnya
Pemandu tersebut terus mengugut remaja itu melalui WhatsApp dengan meminta dia membayar RM2,000 jika tidak mahu video dia menanggalkan pakaian disebarkan serta membuat laporan polis.
Dia siap memberi tempoh dua hari kepada remaja berkenaan untuk membayar wang itu menyebabkan dia yang tertekan kemudian membuat laporan di Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, polis sudah mengenal pasti suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.