[TERKINI] Datuk Nicol David Umum Bakal 'Gantung Raket' Setelah 20 Tahun Jadi Ikon Sukan
Datuk Nicol Ann David juga telah memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia iaitu selama sembilan tahun. SALUTE!
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David telah membuat pengumuman rasmi tentang persaraan beliau pada bulan Jun yang akan datang
Pengumuman itu telah dibuat dan ditulis sendiri oleh beliau melalui laman Twitter miliknya @NicolDavid dan mendapat lebih 8 ribu retweets.
Ramai juga pengguna Twitter yang membalas tweet tersebut dengan ucapan selamat tinggal dan berterima kasih kerana pernah mengharumkan nama Malaysia.
Menurut laporan, keputusan itu dibuat selepas dia mengadakan perbincangan bersama keluarganya dan juga jurulatih, Liz lrving yang telah menjadi tulang belakang di sebalik kejayaannya dari dahulu sehingga kini.
"Saya sangat gembira dan teruja untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara Jun depan. Ia akan menjadi musim terakhir saya dalam karier profesional," jelas atlet berusia 36 tahun itu."
Namun begitu, perkembangan itu sebenarnya bakal menjadi kehilangan besar buat negara Malaysia memandangkan beliau dianggap ikon sukan kebangsaan sejak lebih sedekad lalu
Datuk Nicol telah memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu iaitu selama sembilan tahun sebelum ianya dirampas oleh jaguh Mesir, Reneem El Weleily pada tahun 2015.
Beliau juga telah mengecapi kesemua kejuaraan termasuk lapan kali bergelar juara dunia, lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.
Hebat, Datuk Nicol Ann David!
Dedikasi, teknik serta kesungguhan Datuk Nicol telah menjadi resipi utama kejayaan beliau dalam lapangan sukan skuasy ini
Pencapaian yang diterima oleh Datuk Nicol tersangatlah banyak untuk disenaraikan.
Bukannya mudah untuk melahirkan seorang juara dunia dalam apa jua jenis sukan tanpa dedikasi yang tinggi seperti yang diberikan oleh Datuk Nicol.
Beliau mempunyai pencapaian yang hebat serta keperibadian yang luar biasa.