seismik

14 Tahun Terpisah, Gadis Ini Berjaya Bertemu Semula Ibu Kandung Dengan Bantuan Kuasa Viral

Gadis yang bernama Rabiatul itu telah terpisah dengan ibunya, Nor Asnidal, ketika berusia 6 tahun dan hanya sempat berbual kali terakhir dengan ibunya 10 tahun lalu.

Cover image via Twitter @raffleszcha

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang di antara ibu bapa kepada anak-anak mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit

Namun begitu, kadang kala terdapat juga anak-anak yang terpaksa berpisah dengan ibu ataupun bapa gara-gara perceraian yang berlaku di antara mereka. Boleh dikatakan, berpisah kerana dijemput Ilahi lebih mudah diterima berbanding berpisah kerana tiada jodoh dalam perkahwinan, kerana yang menjadi mangsa selalunya anak-anak.

Image via Satu Jam

Pasti sukar bagi seorang anak untuk membesar dan menjalani kehidupan tanpa kehadiran ibu mahupun bapa kandungnya. Mereka bukan sahaja kehilangan sebahagian kasih sayang dari ibu dan bapa bahkan kadangkala terpaksa berpisah dengan adik-beradik mereka.

Walau bagaimanapun, satu kisah mengharukan telah tular di laman sosial tentang pertemuan seorang ibu dengan anak gadisnya berkat gambar yang telah dimuat naik melalui rangkaian sosial Twitter

Gadis yang bernama Rabiatul itu telah terpisah dengan ibunya, Nor Asnidal, sejak 14 tahun yang lalu ketika berusia 6 tahun dan hanya sempat berbual kali terakhir dengan ibunya 10 tahun lalu.

“Kali terakhir jumpa mak pada usia 6 tahun dan dapat berhubung dengannya kira-kira 10 tahun lalu apabila saya pulang ke kampung mak di Batu Kurau.

“Saya dapat nombor telefon dari saudara mara mak yang ditemui di sana. Selepas beberapa kali cuba menelefon berpandukan beberapa nombor diberikan, akhirnya saya dapat bercakap dengannya.

“Ketika itu, mak mendakwa berada di Melaka dan akan ke Sabah atas urusan kerja. Selepas itu, kami terus terputus hubungan kerana arwah nenek tidak membenarkan saya mencarinya lagi,” kata gadis yang kini berusia 20 tahun itu kepada Harian Metro.

Walau bagaimanapun, selepas neneknya meninggal dunia pada Ramadan tahun lalu, barulah dia mendapat keberanian mencari semula ibu kandungnya menggunakan ‘kuasa’ media sosial.

Ekoran tularnya tweet tersebut dan bantuan orang ramai, akhbar Harian Metro juga turut menghubungi Rabiatul demi membantu mempertemu dirinya dengan ibu kandungnya itu

Selain melalui surat khabar, Harian Metro turut menggunakan medium Facebook serta Twitter untuk membuat sebaran tentang pencarian Rabiatul.

Siapa sangka, secara kebetulan artikel pencarian itu telah dibaca jiran Nor Asnidal di laman Facebook Harian Metro yang seterusnya memaklumkan kepada wanita itu.

Image via Harian Metro

Susulan perkara itu, Nor Asnidal cuba untuk mengesan anaknya menerusi ruangan komen dan ternampak komen daripada akaun Facebook dipercayai milik Rabiatul.

Menerusi profil Facebook milik Rabiatul, dia akhirnya berjaya menghubungi ibu saudara anaknya untuk mendapatkan nombor telefon.

Lanjutan daripada itu, Nor Asnidal telah menghubungi anaknya dan merancang untuk bertemu dalam masa terdekat

“Kami tak mampu bersembang lama kerana asyik menangis," kata Rabiatul yang turut berterima kasih kepada Harian Metro kerana memudahkan usaha pencarian ibunya yang hilang sejak 14 tahun lalu.

Rabiatul turut berharap kehidupannya bersama ibu kandungnya itu akan jadi lebih baik tanpa sebarang halangan selepas ini.

Sementara itu, Nor Asnidal yang mengakui tidak pernah berhenti mencari Rabiatul juga telah meluahkan rasa kesyukuran kerana akhirnya doanya termakbul.

“Kami masing-masing mencari sejak dulu tapi disebabkan masalah keluarga, kami terpisah dan saya selalu berdoa, satu hari nanti dia akan cari saya," ujarnya.

Yang menariknya, rupa-rupanya Rabiatul belajar di kolej yang sama dengan anak kedua Nor Asnidal, hasil perkahwinan keduanya pada tahun 2006. Namun begitu, mereka masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain.

Rabiatul (kiri) dan ibunya, Nor Asnidal.

Image via Harian Metro

“Anak kedua saya turut membantu mencari apabila diberitahu dia ada seorang kakak. Tapi tidak sangka, walaupun belajar kolej yang sama, mereka tidak pernah bertemu," katanya.

Tambah Nor Asnidal lagi, dia telah pun menghubungi bekas suami yang menyatakan tiada masalah untuk Rabiatul bertemu dengan dia dalam tempoh terdekat ini.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Dengan bantuan 'kuasa viral', dua beradik ini juga telah bertemu dengan ibunya setelah 18 tahun terpisah!

Power rupanya 'kuasa viral' ni!

You may be interested in: