"Alamak, Exam SPM Dah Dekat!" - Ini 7 Strategi Akhir Untuk Anda Skor A Dengan Cemerlang
Usaha, doa dan tawakal. You guys can do it!
Buat pertama kali dalam sejarah sejak wabak Covid-19 melanda negara tahun lalu, akhirnya pelajar tingkatan 5 bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 22 Februari ini
Sudah tentu setiap pelajar yang bakal menghadapi SPM tidak lama lagi mula resah memikirkan bagaimanakah situasi mereka untuk menghadapi peperiksaan dalam norma baru.
Mana tidaknya, sudah beberapa kali tarikh SPM terpaksa ditunda akibat pandemik yang semakin menular saban hari, sekali gus ia telah menyekat segala aktiviti termasuklah sesi persekolahan.
Oleh itu, berikut di bawah adalah 7 strategi yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengurangkan rasa nervous dan stres sebelum menduduki SPM.
1. Buat jadual belajar yang sistematik
Jadual belajar adalah amat penting kerana ia dapat memudahkan anda untuk menguruskan subjek mana yang lebih penting untuk diulangkaji.
Anda boleh mengikut cara di atas, iaitu menggunakan highlighter atau sticker note warna-warni untuk mengutamakan subjek yang wajib untuk diskor.
Pastikan jadual belajar itu lengkap dengan waktu rehat dan makan juga untuk mengelakkan otak anda tidak terlalu letih.
2. Tahu kaedah menjawab soalan setiap subjek dengan betul
Ini juga adalah elemen paling penting semasa menjawab peperiksaan. Hal ini kerana jika anda tidak tahu kaedah menjawab yang betul, kemungkinan besar pemeriksa tidak faham dengan jawapan yang diberi, sekali gus tidak mahu memberikan markah kesian.
Contohnya seperti subjek Matematik memerlukan formula yang tepat untuk mendapat jawapan betul. Lebih-lebih lagi bagi kertas objektif di mana jika tersilap menanda jawapan, sudah tentu markah anda akan kurang di situ.
Apa yang best adalah zaman sekarang anda boleh menonton video berkaitan apa-apa subjek di YouTube untuk lebih mengingati kaedah dan memudahkan pemahaman.
3. Buat formula sendiri
Kadangkala, formula yang diajar oleh guru susah untuk difahami dan dihadam kerana lain orang lain caranya. Anda boleh menggunakan pelbagai cara untuk mencipta formula sendiri mengikut jenis subjek
Contohnya, bagi subjek yang memerlukan anda untuk menghafal seperti Sejarah dan Sains, anda boleh mereka lagu yang berlainan mengikut bab.
Hal ini kerana golongan muda lebih cenderung untuk mengingati melodi berbanding menghafal bulat-bulat daripada buku.
4. Analisis soalan SPM tahun-tahun lepas
Latihan tubi soalan tahun-tahun lepas amatlah digalakkan untuk anda mengulangkaji supaya dapat mengenal pasti graf soalan yang diulang setiap tahun dan mungkin akan keluar dalam SPM 2021.
Dengan melakukan analisis ini, secara tidak langsung ia dapat membantu anda untuk mengingati bab mana yang paling kerap masuk di dalam kertas peperiksaan.
Oleh itu, anda juga dinasihatkan untuk menulis semula soalan-soalan penting tersebut di dalam nota kecil bagi memudahkan anda proses menghafal ketika masa lapang.
5. Meminta doa daripada ibu bapa dan juga restu guru
Disebabkan pandemik yang berlaku sekarang, umum sedia maklum bersalaman dan berpelukan tidak dibenarkan dalam norma baru.
Kebiasaannya sebelum memasuki dewan peperiksaan, pelajar diminta untuk berjumpa dengan guru masing-masing untuk meminta restu dan keberkatan ilmu. Namun, disebabkan tidak boleh berbuat sedemikian akibat kekangan waktu dan Standard Operation Procedure (SOP) yang ketat, anda boleh membuat panggilan atau video call dengan guru beberapa hari sebelum SPM bermula.
Dalam pada itu, ibu bapa juga merupakan tunggak utama bagi kejayaan seseorang. Justeru, anda haruslah meminta doa daripada mereka supaya anda urusan peperiksaan anda dipermudahkan.
6. Persediaan mental dan fizikal
Tidak dapat dinafikan, perasaan gementar itu akan ada pada hari pertama peperiksaan. Jangan mudah gelabah dan cuba tenangkan diri dengan memastikan anda membuat persediaan awal dari segi mental dan fizikal.
Anda dinasihatkan agar tidak mengulangkaji last minute sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Anda perlukan rehat yang cukup dan seeloknya waktu terakhir untuk mengulangkaji adalah sehari sebelum exam.
Dari segi fizikal pula, jangan lupa untuk sediakan siap-siap barangan penting seperti slip peperiksaan, kad pengenalan diri dan alat tulis yang mencukupi. Anda juga harus membuat persediaan dengan memakai face mask dan juga membawa hand sanitiser mengikut SOP yang telah ditetapkan.
7. Amalkan doa sebelum masuk dewan peperiksaan
Setiap pelajar mempunyai agama dan ajaran yang tersendiri ketika melakukan sesuatu perkara. Ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan anda untuk menghadapi SPM.
Bagi yang beragama Islam, anda digalakkan untuk membaca doa di atas supaya dapat menenangkan hati semasa menjawab peperiksaan nanti.
Manakala bagi yang bukan beragama Islam pula, anda boleh mengamalkan doa mengikut agama masing-masing.
Jangan lupa anda juga kini boleh menonton DidikTV di ntv7 setiap hari dari 7 pagi hingga 12 tengah malam. Klik saja di sini jika anda mahu menontonnya melalui YouTube channel ntv7MALAYSIA Official.
Semoga semua tips dan strategi yang kami kongsikan ini dapat membantu anda untuk menjalani SPM 2021 dan mendapat keputusan yang cemerlang. Good luck and do your best adik-adik! <3