"Bila Berniaga Jangan Kutip Hutang & Jangan Kena Matahari" - Pesanan 'Deep' Untuk Peniaga
Semoga mudah untuk difahami dan dapat dimanfaatkan bersama.
Perniagaan adalah sumber rezeki yang sememangnya mudah untuk diperolehi oleh setiap orang. Dengan teknik dan cara yang betul, anda mampu untuk memperolehi rezeki yang banyak dan berkat, lebih-lebih lagi dengan berniaga.
Antara cara yang lebih baik adalah mengikut sunnah Rasulullah ketika berniaga adalah:
1. Tidak pernah berdebat iaitu beliau tidak pernah menyakiti hati peniaga lain ketika berniaga.
2. Gunakan teknik menjual yang unik iaitu menjual barangan dengan harga yang tidak terlalu tinggi supaya pembeli tidak merasa seperti ditipu dan berpuas hati.
3. Sentiasa senyum ketika berniaga kerana ianya merupakan daya penarik. Walaupun tutur kata tidak seberapa, namun pelanggan tetap menggemari peniaga yang berwajah manis.
4. Selain itu, jujur juga adalah perlu. Kejujuran sangat ditekankan dalam perniagaan kerana ianya merupakan elemen penting.
5. Berniaga bukan hanya mengejar harta semata-mata, malah untuk mencari penghidupan yang halal. Selain itu, bagi mengukuhkan potensi untuk orang kaya tampil kehadapan dan menghulur modal bagi tujuan perniagaan yang lebih baik.
Ada hadis sahih riwayat Abu Daud di mana Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan)? Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para peniaga.
Dengan contoh itu telah terbukti bahawa tidak mengapa untuk peniaga menaikkan keuntungan sesuatu jualan sehingga 100%.
Cuma dilarang menyorokkan barangan keperluan asasi manusia ketika permintaan mendadak dan menjualnya kembali ketika harga dinaikkan.
Seorang pengguna Twitter telah berkongsi satu nasihat yang sangat mendalam untuk peniaga di luar sana iaitu:
Bila berniaga, jangan kutip hutang dan jangan kena matahari.
Mengapa? Baca penuh di bawah:
Hassan Al Basri merupakan seorang ulama dan ahli perniagaan. Beliau memiliki dua anak lelaki. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memanggil kedua anak lelakinya, lalu berpesan:
"Bila ayah telah tiada lagi di dunia ini, kamu berdua hendaklah meneruskan perniagaan ayah. Cuma ada 2 perkara ayah ingin kamu lakukan, iaitu:
1. Bila kamu berniaga, jangan kutip hutang.
2. Bila kamu berniaga, jangan kena matahari.
Selepas menasihati kedua-dua anak lelakinya, Hassan Al Basri kemudiannya mengakhiri hayatnya dan meninggal dunia.
Satu perkara telah berlaku kepada kedua-dua anaknya...
Masa telah berlalu dan selang beberapa tahun, perniagaan si adik semakin merosot dan terus merosot. Manakala perniagaan si abang semakin maju dan maju.
Satu hari si Ibu (balu Hassan Al Basri) memanggil anaknya si adik. Lalu bertanya:
Si ibu: "Wahai adik, kenapa perniagaanmu semakin hari semakin merosot?"
Jawab si adik: "Saya ikut pesanan ayah.*
Si ibu: "Apakah pesanan ayahmu?"
Jawab si adik: "Ayah berpesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi, semua yang berhutang dengan saya, saya tak pernah minta bayaran. Kalau mereka nak bayar, mereka bayar. Kalau mereka tak bayar, saya tak kan kutip bayaran.
Pesan ayah lagi, "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI."
"Kemana sahaja saya berniaga, mesti bawa payung. Jadi semua perniagaan itu tidak kena matahari sebagaimana pesan ayah."
Manakala perniagaan si abang pula semakin maju.
Apa rahsianya?
Kemudian, si ibu pergi berjumpa dengan si abang pula, lalu bertanya:
Si ibu: "Wahai abang, ibu lihat perniagaanmu semakin hari semakin maju, apa yang kamu lakukan?"
Jawab si abang: "Saya ikut pesan ayah.
Si ibu: "Apa pesanan ayahmu?"
Jawab si abang: "Ayah pesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi , semua saya JUAL TUNAI. Maka, tidak ada orang berhutang dengan saya. Saya ikut pesan ayah, saya tak perlu kutip hutang. Semua bayar tunai yang sah."
Kedua, ayah berpesan, "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI."
Jadi saya keluar ke kedai waktu subuh. Lepas solat subuh, saya tidak tidur, terus ke kedai. Malam baru saya pulang ke rumah. Jadi, saya tak kena matahari."
Pengajaran yang dapat diperoleh dari kisah di atas adalah perbezaan mentafsir sesuatu perkara itu akan menjadikan titik arah hidup yang berbeza untuk setiap individu
Kalau kita kata ibadah itu hanyalah di tikar sembahyang semata-mata, nanti kita akan meninggalkan kewajipan mencari nafkah terhadap keluarga, kewajipan terhadap negara dan ummah keseluruhannya.
Jadi, belajarlah dari ramai guru, banyak membaca untuk tambahkan ilmu, minta اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى beri petunjuk, mohon اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى bimbing kehidupan kita, semoga اللّٰه memberikan taufik dan hidayah.
Mudah-mudahan, dengan kefahaman yang betul, kita di muliakan oleh اللّٰه di dunia dan di akhirat.
Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda; “Siapa yang اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى mahukan kebaikan bagi dirinya, akan difahamkan padanya agama dengan sebenar-benar kefahaman.”
Sumber: Twitter @Azlanhmm