Kadar Kesuburan 2022 Di Malaysia Direkod Paling Rendah Dalam Tempoh 50 Tahun - Laporan
Sebagai rekod, dilaporkan sebanyak kadar kelahiran pada 2022 menyaksikan penurunan 3.8%.
Kadar kesuburan jumlah (TFR) 2022 di Malaysia merekodkan penurunan dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021
Menurut sumber, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar kesuburan itu merupakan yang terendah sejak lima dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada 1970.
Menurutnya, sejak 1970 hingga 2012, TFR negara direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak yang menunjukkan purata bilangan anak dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.
"Bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 hingga kini. Trend penurunan kadar kesuburan ini berpotensi akan mengakibatkan berlaku krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk, kesan terhadap ekonomi dan sosial," katanya.
Semua negeri merekodkan TFR di bawah paras penggantian kecuali Terengganu dengan 2.9 anak, Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak)
Menurutnya, TFR tertinggi dicatatkan oleh bangsa Melayu iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2022, manakala Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak.
Malaysia bersama beberapa negara seperti Amerika Syarikat mencatatkan 1.7 anak, Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.6 anak), Jepun (1.3 anak) dan Korea Selatan (0.8 anak), menunjukkan trend kadar kesuburan menurun di bawah paras penggantian.
"Trend yang sama dapat diperhatikan di negara Asean lain seperti Vietnam (1.9 anak), Brunei (1.8 anak), Thailand (1.3 anak) dan Singapura (1.1) anak," katanya lagi.
Sementara itu, kelahiran hidup direkodkan pada 2022 adalah seramai 423,124 kelahiran iaitu menurun 3.8 peratus (16,620 kelahiran) berbanding 439,774 kelahiran pada 2021.
Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing direkod 218,345 dan 204,779
Menurut beliau, semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2022 berbanding 2021 kecuali Sabah yang menunjukkan peningkatan daripada 12.2 (2021) kelahiran kepada 12.8 (2022) kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
"CBR tertinggi pada 2022 direkodkan di Song, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu dengan kedua-dua daerah terbabit merekodkan 24.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk. Daerah Kinabatangan, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 4.6 kelahiran," katanya.
Sementara itu, kadar kematian yang direkodkan pada 2022 pula adalah 206,525 kematian, menurun 8.0 peratus (18,044 kematian) berbanding 224,569 pada 2021, iaitu selepas pandemik Covid-19.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!