Kahwini Jejaka Afrika Barat & Buat Majlis Ala Kampung, Pengantin Ini Curi Tumpuan Netizen!
Ini yang dinamakan perkahwinan antarabangsa!
Berbicara soal jodoh, ianya memang tidak dijangka
Jodoh itu Allah SWT berikan bertepatan dengan keadaan dan masa yang bersesuaian dengan kita
Yakinlah bahawa Allah SWT sudah tetapkan jodoh kita semasa kita dilahirkan. Jodoh, rezeki, ajal, dan maut telah ditetapkan Allah SWT sejak roh kita dicipta. Bagi berhadapan dengan orang yang asyik bertanya tentang jodoh, jawablah begini, "Doakan saya, insya-Allah akan mendapat jodoh yang baik."
Boleh jadi jodoh anda sebenarnya berada di depan mata. Tidak pun jodoh anda sebenarnya berasal dari negara nun jauh di sana.
Seperti yang berlaku kepada seorang gadis dari Kedah ini yang terjatuh hati dengan seorang jejaka dari Guinea, Afrika Barat
Nur Afilah Amir Rusli, gadis yang berusia 24 tahun itu telah bertemu dengan jodohnya, Adama Mohamed Camara, 26 tahun, secara tidak sengaja di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, kira-kira empat bulan yang lalu.
Pada ketika itu, Nur Afilah yang lebih mesra disapa Fila yang mempunyai masalah dengan teman serumahnya itu sedang menangis di sebuah kafe di Pavilion, sebelum didekati Adama. Fila pada awalnya takut kerana risau Adama akan mengambil kesempatan terhadap dirinya terus tertarik dengan keikhlasan yang ditunjukkan jejaka itu.
"Itulah kan kalau dah jodoh, Allah SWT akan hadirkan dia datang secara tiba-tiba," kata gadis Jitra, Kedah itu kepada MStar.
Selain itu, menurut Fila, Adama mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya yang membuatkan dia terbuka hati memilih lelaki itu sebagai pasangan hidupnya.
"Dia sangat baik hati, penyayang, penyabar dan bijak. Saya tertarik dengan dia sebab dia ada ciri-ciri lelaki yang saya nak. Dia tidak merokok, tak buat benda-benda pelik, ilmu agama yang tinggi dan amat mementingkan keluarga," ujar Fila.
Namun begitu, yang benar-benar membuat hati Fila tersentuh adalah kesungguhan Adama mengajaknya menunaikan umrah selepas dua bulan perkenalan mereka
"Lepas sebulan dua kenal, dia ajak pergi umrah sebab tak kahwin lagi saya cakap tak boleh. Jadi bermula dari situ kami merancang untuk kahwin," jelas Fila.
Meskipun perkenalan yang sangat singkat, namun urusan mendirikan rumah tangga mereka berjalan dengan lancar dan mendapat restu keluarganya yang digambarkan sebagai memang supportive dan sporting.
"Bila merancang untuk kahwin, saya bawa suami balik kampung. Dia pun terharu dengan layanan mak ayah saya.
"Kemudian dia meminta izin ayah saya untuk mengahwini saya. Ayah minta selesaikan semua dokumen dan kahwin secara sah. Ayah sangat memilih dan garang. Kalau ayah setuju, ayah percaya dengan pilihan dia," tambah anak kedua daripada empat beradik itu.
Pasangan mempelai itu selamat diijabkabul pada Jumaat, 26 April yang lalu di kampung halaman gadis itu di Kampung Raja, Kubang Pasu, Jitra, Kedah
Difahamkan salah seorang wakil rombongan pengantin lelaki turut berperanan sebagai juruhebah demi memeriahkan lagi majlis perkahwinan tersebut.
Siap menari tarian kebudayaan mereka lagi tu!