seismik

Rumah Macam 'Lautan' Sampah, Ahli Keluarga Terpaksa Panggil APM Keluarkan Warga Emas

Wanita warga emas terbabit dilaporkan berada dalam keadaan kurang sihat.

Cover image via NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seperti berada di 'lautan' sampah sarap, begitu keadaan rumah dua tingkat yang dihuni seorang wanita warga emas berusia 86 tahun

Ia berlaku kerana tabiat wanita warga emas berkenaan yang gemar mengumpul barangan lusuh dan kitar semula di rumahnya sejak beberapa tahun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang melakukan tugas khas mengeluarkan wanita itu dari rumahnya pada Ahad jam 4.40 petang.

Difahamkan, APM telah menerima panggilan daripada ahli keluarga yang mendakwa wanita yang dalam keadaan tidak sihat itu sukar dikeluarkan dari rumahnya berikutan terdapat timbunan sampah dan tugas penyelamatan dilakukan.

Image via Berita Harian

Pegawai APM Daerah Timur Laut Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata wanita itu dikatakan tidak dapat berjalan dan sukar bergerak keluar daripada kediaman dua tingkat itu berikutan dipenuhi barangan lusuh dan kitar semula yang dikumpulnya.

"Mangsa dikatakan mahu tinggal di pusat jagaan warga emas berhampiran namun berikutan keadaannya yang tidak sihat dan sukar keluar daripada timbunan sampah di dalam rumah, keluarga menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.

"Seramai empat anggota APM terbabit dalam tugas itu dengan menggunakan pengusung dan teknik 'berekor' bagi membawa wanita itu keluar daripada rumah," katanya.

Selepas dikeluarkan, wanita itu diberi rawatan awal. Wanita terbabit sebelum ini mempunyai sejarah penyakit kencing manis, hipertensi, gangguan pendengaran dan lemah badan.

Tambahnya, mangsa tidak berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah itu serta dipercayai sudah lama mengumpul barangan terpakai dan lusuh.

"Keluarganya mendakwa wanita itu yang kerap terjatuh sering menelefon mereka pada tengah malam bagi meminta bantuan. Berikutan itu, keluarga mahu menghantarnya ke pusat jagaan dengan persetujuan wanita berkenaan," katanya.

Image via Harian Metro

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: