seismik

"Tak Ada Niat Nak Curi, Nak Pinjam Je" - Pencuri Pulang Semula Motor Besar Yang Dicuri

Motosikal tersebut telah dicuri pada pagi Isnin, 5 November, dan dipulangkan semula pada malam itu, hari yang sama.

Cover image via Facebook Suhaimi atau Gagento

Memiliki motor besar atau superbike merupakan keinginan dan impian ramai lelaki

Image via Twitter

Bahkan ada yang sanggup membayar mahal berbanding pemilik motosikal lain semata-mata demi kepuasan tunggangan maksimum, ataupun mahu menampakkan sosok diri sebagai individu berjaya di mata keluarga dan rakan-rakan.

Namun begitu, tidak semua orang bernasib baik untuk menjadi pemilik superbike lebih-lebih lagi kerana harga dan kos penyelenggaraannya yang mahal menyukarkan orang ramai untuk memilikinya.

Beberapa hari yang lalu, tular kisah motosikal superbike yang hilang dicuri, dipulangkan semula kepada pemiliknya

Kisah ini dikongsikan sendiri oleh pemilik motosikal itu apabila pencuri berkenaan telah memulangkan semula motor tersebut disertakan dengan nota memohon kemaafan.

"Saya tak ada niat nak curi.

"Saya nak minta maaf sebab dah curi motor abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pengalaman naik motor besar. Saya betul-betul minta maaf."

Berikut adalah nota ditulis penjenayah kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi selepas melarikan motosikal jenis Yamaha R6, dalam kejadian di pangsapuri Flora Damansara.

Nota berkenaan diselitkan di bahagian tingkap pemandu kereta Ford Fiesta mangsa yang turut dipecah suspek sama dan ditemui pemilik pagi tadi.

Pemilik motosikal, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, 32, berkata, nota itu dipercayai diselitkan penjenayah sama yang datang semula ke kawasan Flora Damansara selepas kes kehilangan motosikal itu tular di media sosial.

Motosikal tersebut disedari hilang oleh Khairul Anuar kira-kira jam 8 pagi pada hari Isnin, 5 November, ketika ingin berangkat ke tempat kerja

“Selain hilang motosikal, kereta saya turut dipecah suspek sama yang melarikan beberapa barang berharga seperti cermin mata dan pengimbas SmartTag.

“Saya syak suspek jumpa kunci pendua motosikal di dalam kereta dan ambil kesempatan melarikannya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Khairul Anuar bersyukur apabila motosikal kesayangannya itu ditemui semula. Motor tersebut dibeli kerana minatnya pada motosikal berkuasa tinggi sejak dari kecil lagi.

Khairul Anuar juga telah memaafkan perbuatan penjenayah itu, namun menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang

“Saya sudah maafkan penjenayah itu, namun perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah dan harap polis dapat menahannya untuk tindakan undang-undang.

“Lagipun, saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa penjenayah sama yang melakukan jenayah pecah kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, motosikal yang dilaporkan hilang juga sudah ditemui dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan, seperti yang dilaporkan akhbar Berita Harian.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: