Yang Bakar Jalur Gemilang Tu Bukan Warga Cina. Itu Polis Filipina & Gambar Itu Dari 2013!
Sudah-sudahlah nak menabur fitnah.
Isu perkauman yang sedang hangat diperbincang sekarang ini nampaknya membara ke satu tahap yang lebih tinggi sejak tiga hari lepas
Semuanya disebabkan oleh post di bawah:
Tidak cukup dengan isu bendera terbalik, seorang netizen di Facebook memuat naik sebuah post seolah-olah menunjukkan seorang warga Cina sedang membakar Jalur Gemilang.
Post berkenaan ternyata menarik perhatian orang ramai sehingga mendapat 4.5k perkongsian ketika artikel ini ditulis.
Malah ruangan komen juga penuh dengan cacian dan hinaan terhadap kaum Cina, dan seperti biasa ramai yang menyuruh kaum ini untuk pulang ke tempat asal mereka
Sebenarnya, dakwaan itu langsung tidak berasas. Carian imej di Google mendedahkan bahawa gambar itu diambil pada tahun 2013 di Manila, Filipina.
Ia merupakan gambar seorang pesara polis, Abner Afuang membakar bendera Malaysia di hadapan Kelab Akhbar Kebangsaan di Manila kerana mengutuk pengendalian Presiden Benigno Aquino mengenai isu Lahad Datu di Sabah.
Gambar yang sama ini juga pernah digunakan pada tahun 2015 bagi mencetus kebencian terhadap perhimpunan Bersih.
Untuk makluman, Abner Afuang juga pernah membakar bendera negara China di hadapan Jabatan Pejabat Luar Negeri di Pasay City pada 2012 sebagai membantah dakwaan pencerobohan Beijing ke perairan Filipina.
Sehari kemudian, individu tersebut memuat naik satu lagi post sambil menjelaskan bahawa dakwaannya itu adalah percubaan untuk menguji emosi dan semangat cintakan bendera
Namun, apa yang menyedihkan ialah post kedua ini hanya mendapat 10 shares sahaja, begitu besar bezanya dengan post yang pertama.
Malah, beliau masih belum memadam post pertama tersebut yang dilihat seperti sengaja menimbulkan kemarahan dan membara api perkauman di kalangan rakyat Malaysia. Dan kebanyakan mereka masih belum sedar bahawa dakwaan itu adalah palsu.