McDonald's Malaysia Tidak Beri Sumbangan Untuk Israel, Mufti Saran Usah Boikot
Akibat konflik Palestin-Israel, syarikat Mcdonald's Malaysia dilabel sebagai pendukung Yahudi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mufti Pulau Pinang, Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, menegaskan McDonald's Malaysia tidak memberi sumbangan kepada Israel dan menyeru agar tidak memboikot syarikat tersebut
Menurut laporan Harian Metro, Wan Salim memberikan nasihat kepada orang ramai yang ingin melakukan tindakan memboikot terhadap syarikat berkaitan dengan Israel agar mereka memastikan bahawa tindakan tersebut berdasarkan bukti yang jelas dan meyakinkan, bukannya hanya berdasarkan sangkaan atau spekulasi semata-mata. Hal ini penting untuk memastikan keadilan dan keberkesanan dalam pelaksanaan tindakan tersebut.
"Perlu dijelaskan bahawa McDonald's Malaysia tidak termasuk antara syarikat yang perlu diboikot kerana pihak pengurusannya sudah memberi penjelasan, selain itu syarikat berkenaan juga mengeluarkan zakat menerusi pejabat urus zakat di beberapa negeri.
"Dalam membela pihak yang teraniaya jangan pula sampai menganiaya pihak yang lain, jadi sebagai umat Islam kita hendaklah menegakkan keadilan walaupun terhadap orang bukan Islam. Ini kerana nilai keadilan yang diperintahkan agama Islam supaya ditegakkan adalah bersifat sejagat, bukan kepada masyarakat Islam sahaja," katanya.
Dalam satu laporan Harian Metro sebelum ini, beliau berkata sekiranya seorang individu Muslim tidak mempunyai peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat yang menghasilkan produk Israel menjadi satu-satunya sumber pendapatan, maka dalam situasi yang terdesak, individu tersebut diberikan kelonggaran untuk memenuhi keperluan hidupnya walaupun produk yang dihasilkan berkaitan dengan Israel.
"Namun, di Malaysia terdapat banyak peluang pekerjaan yang tersedia, hanya perlu rajin mencarinya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!