Ini 3 Formula Berguna Untuk Beli Kereta Mampu Milik & Sesuai Dengan Gaji Bulanan. Penting!
Jangan beli kereta tanpa mengukur kemampuan diri sendiri, nanti bulanan sakit nak bayar.
Banyak perkara yang perlu dipertimbang dan dititikberatkan sebelum membeli kereta. Tak kisahlah kereta pertama, kereta kedua atau seterusnya.
Membeli kereta sebenarnya tak semudah yang disangka. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan juga. Malah, jika anda tersilap beli kereta melebihi kemampuan, kos yang perlu ditanggung akan menjadi satu beban.
Perlu juga anda ketahui bahawa selain ansuran pinjaman kereta bulanan, anda juga perlu mempertimbangkan perbelanjaan lain seperti insurans kereta, cukai jalan, servis dan penyelenggaran serta lain-lain lagi.
Sebab itulah jangan terlalu terburu-buru dalam membeli kereta. Jangan pilih yang mahal, besar dan selesa namun akhirnya anda harus menanggung komitmen tinggi setiap bulan.
Ramai juga yang tertanya-tanya dan masih keliru tentang formula untuk beli kereta mampu milik dan sesuai dengan gaji bulanan.
Sebagai permulaan, anda boleh baca perkongsian di bawah yang ditulis oleh Harith Faisal dan dikongsi kembali oleh page Job Malaysia. Memang sangat berguna, lebih-lebih lagi jika anda baru pertama kali membeli kereta.
Ikuti tiga formula untuk beli kereta mampu milik seperti di bawah:
Kereta mahal dah jadi impian sejak tahun satu pengajian di universiti. Dengan harapan, lepas dapat saja kerja pertama dengan gaji RM2500, nak beli kereta yang paling mahal yang layak untuk gaji tu.
Kalau lepas Honda Civic, nak angkat juga. Iyalah, lambang kebanggaan dan pengukur kejayaan anda. Haha. Lawak. Itu adalah pemikiran budak-budak baru nak up.
Ketahuilah, jika anda mampu beli kereta, belum tentu anda mampu beli rumah. Tapi kalau anda mampu beli rumah, pasti anda mampu beli kereta. Ada faham? Kalau ramai yang tak faham, nanti saya terangkan.
Jadi, saya ingin kongsikan formula untuk beli kereta mampu milik versi #harithfaisal.
1. Harga kereta tidak melebihi gaji tahunan anda
Jadi jika anda bergaji RM2700, harga kereta anda mestilah tidak lebih daripada RM32,400. RM2700 x 12 = RM32,400.
Proton Saga FLX pun boleh dapat dah dengan harga RM33k++. Tapi tak glemer lah kalau fresh Banker atau Engineer pakai Proton Saga kan? Paling tidak, nak angkat Toyota Vios, Nissan Almera.. Kan kan?
2. Ansuran bulanan mesti tidak melebihi 15% (lagi rendah, lagi bagus) daripada gaji anda
Saya sendiri pakai kereta ansurannya tak sampai 8% daripada gaji isi rumah. Jadi, jika anda bergaji RM2700, ansuran bulanan kereta ideal anda adalah RM405.RM2700 x 15% = RM405.
Jika hanya 15% digunakan untuk beli kereta, baki lagi 85% daripada gaji bolehlah buat simpanan kahwin, simpanan deposit rumah dan lain-lain. Okay dapat?
3. Beli kereta mengikut keperluan masing-masing
Habis tu, kalau gaji RM8,000 sebulan memang kena beli kereta berharga RM96,000 ke? Tak.
Beli kereta ikut keperluanlah. Kalau tak perlu kereta mahal, tak perlu kereta besar buat apa beli. Selepas 9 tahun, jadi besi buruk juga. Bila anak-anak dah ramai, kalau perlu bolehlah dipertimbangkan untuk upgrade kereta yang lebih besar untuk keselesaan keluarga.
Dan suami isteri kalau tak perlu 2 kereta, pakai saja 1 kereta kongsi. Pergi dan balik dari ofis bersama. Dalam kereta, bolehlah sembang-sembang, gurau-gurau untuk menyuburkan cinta, supaya sentiasa mekar dalam kamar bahagia. Haha.
Zaman sekarang ini memang anak-anak muda yang gaji tidaklah besar mana tapi pakai kereta mahal.
Lebih-lebih lagi fresh grad.
Kita lihat pula perangai fresh graduate biasa sekarang ni. Bergaji RM2700, tetapi memiliki kereta dengan ansuran bulanan RM800. Mari kita kira. (RM800/RM2700) x 100% = 30%. 30% daripada gaji diperuntukkan untuk ansuran bulanan adalah sangat tidak bagus.
Kereta mahal, road tax mahal, maintenance mahal. Silap-silap kereta tu mungkin makan sampai 60% daripada gaji mereka setiap bulan. Tinggal 40% sahaja daripada gaji untuk survive sebulan. Simpanan kahwin pun belum tentu ada. Apatah lagi saving untuk deposit beli rumah. Last choice, nak kahwin, pakai Pembiayaan Peribadi RM30,000.
Beli kereta mahal nak impress bakal bapak mertua? Memang bapak mertua kagum dengan 'pancapaian' anda. Tapi anda yang merana sorang-sorang. Hujung bulan makan Megi dalam kereta mahal sambil menitiskan air mata. Hihi. Fikirkanlah banyak kali sebelum anda terjebak dengan kereta-kereta mahal ya.
Kesimpulannya...
Paling bagus, beli kereta terpakai yang murah-murah dengan tunai. Atau takyah beli langsung, tunggu dah kahwin barulah beli. Atau beli 2 bijik rumah dulu, kemudian sewakan. Duit aliran tunai positif daripada rumah sewa, buat bayar ansuran kereta kita pula.
"KERETA KITA PAKAI, PENYEWA RUMAH TOLONG BAYARKAN."