Pak Cik Kreatif Reka Kereta Api Di Kawasan Rumah, Rancang Mahu Beri Peluang Orang Naik
Bestnya tengok.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, tular di TikTok selepas video seorang lelaki yang mencipta kereta api di kawasan perumahannya
Minat mendalam dalam dunia permainan memberi ilham kepada Abd Rahim Abd Hamid untuk menghasilkan permainan kereta api yang mengelilingi rumahnya di Melaka Pindah.
Kreativitinya itu telah mendapat perhatian selepas anak saudaranya, Mohd Izwan Mohd Tamin, memuat naik video di TikTok yang menunjukkan pengalamannya sekeluarga menaiki permainan berkenaan.
Bercerita kepada Harian Metro, Mohd Izwan berkata, projek permainan kereta api itu diberi nama 'Tokdgardenrailway' mengambil masa lima hingga enam bulan untuk disiapkan dengan menelan kos lebih RM100,000 kerana gerabak kereta api dibeli di luar negara.
Menurutnya, bapa saudaranya tidak menjalankan projek itu berseorangan tetapi dibantu isterinya.
"Pak cik penggemar mainan dan sering diundang untuk acara berkaitan. Lagipun imaginasinya tinggi dan saya diberitahu idea projek permainan kereta tapi itu tercetus kerana dia nak cipta kelainan.
"Bila tengok hasilnya memang menarik dan sebagai anak saudara, saya kagum melihat hasilnya. Tetapi saya tidak hairan kerana tahu pak cik memang kreatif," katanya.
Rancang nak beri peluang untuk orang luar merasa
Mohd Izwan berkata, permainan kereta api itu terdiri daripada tiga gerabak yang bergerak di atas rel sepanjang 500 meter.
Katanya, ia boleh memuatkan enam hingga tujuh individu pada satu-satu masa serta sesuai dinaiki oleh kanak-kanak mahupun dewasa.
"Kereta api itu bergerak dengan alat kawalan dan orang yang duduk paling depan perlu mengawalnya. Bagi tujuan keseimbangan, orang dewasa perlu duduk di bahagian depan dan belakang, manakala kanak-kanak di tengah.
"Saya sekeluarga sudah menaikinya ketika ke rumah pak cik tempoh hari dan memang seronok," katanya.
Malah, dia tidak menyangka perkongsian di TikTok akan mendapat perhatian ramai hingga tular.
Melihat penerimaan baik itu, katanya, bapa saudaranya merancang memberi peluang kepada orang ramai untuk menaiki permainan berkenaan.
"Tak tahu bila tapi jika dibuka nanti, mereka yang nak datang kena buat temujanji dulu. Ia kerana pak cik menjaga nenek (ibunya), jadi agak sibuk," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!